Friday 8 January 2016

Bahagian Keenam

Bersambung...

         Sebenarnya setelah beberapa lama UKCG berlalu, harapan aku masih wujud, namun ego aku sebenarnya yang memendamkan harapan tersebut. Oleh itu, aku sangat bersemangat dan optimis sekali hendak menempuhi suka dan duka di alam matrikulasi. Sayangnya, impian aku untuk bergelar doktor bermula baru ketika itu, jadinya aku cuba sedaya menyingkirkan tanggapan negatif berkaitan kesukaran dan sebagainya di matrikulasi. Aku bahkan siap bercadang membawa bekas pensel yang digunakan sewaktu peperiksaan SPM untuk mengingatkan aku kegagalan yang aku rasakan ketika aku di bangku sekolah. Tidak juga aku banyak bermain, apatah lagi bercinta, tapi mungkin aku tidak serajin dan setekun rakan yang lain. Selain membeli buku matematik untuk matrikulasi, aku juga ada membeli buku Prof. Dr. Muhaya yang bertajuk How to Be Successful Medical Student. Sungguh aku katakan, aku benar-benar nekad kiranya melalui matrikulasi untuk mencapai cita-cita aku. Berkenaan buku tersebut juga, aku fikirkan jikalau aku tidak begelar seorang doktor sekalipun kelak, aku masih boleh mengamalkan tip-tip yang disampaikan kerana apa jua bidang pengajian pun, hakikatnya adalah sama mencabar juga dengan bidang perubatan.

         Aku tinggalkan hasrat yang kian menebal itu dan aku teruskan sampai masa keputusan untuk temuduga PPISMP Ambilan Jun 2015 keluar. Oh ya, sebelum itu aku akan selitkan sedikit tentang hidup aku selama seminggu di matrikulasi. Dengan hasrat aku dan impian yang membara untuk menjadi seorang doktor, aku melangkah ke Kolej Matrikulasi Kedah. Sudah semestinya tawaran Asasi Sains Hayat di UNIMAS telah aku tolak. Sedikitpun tidak aku kesalkan. Mungkin keraa sudah lama aku berhajat dan merancang kehidupan di matrikulasi kelak.

         Jadi, pada 24 Mei 2015 aku mendaftar di KMK. Walaupun terletak di dalam negeri Kedah, jaraknya agak jauh dari daerah aku. Setelah bertolak dari awal pagi, pada hari itu aku seronok akhirnya dapat juga aku ke matrikulasi. Dipendekkan cerita, sesi pendaftaran berjaya aku selesaikan dengan baik dan yakin sekali. Seingat aku, langkah aku pada hari itu seolah-olah sekitar kawasan pernah aku jejaki. Rakan-rakan dari SMKAB juga ramai di situ. Seminggu di matrikulasi adalah pengalaman yang sangat bermakna. Jika diberi peluang, aku mahu lagi ke situ. mungkin tidak perlu aku ceritakan tentang kemudahan-kemudahan kerana sememangnya terbaik dan lengkap.

          Paling seronok, blok aku terletak berhampiran masjid. Statusnya masjid kerana penduduk di sekitar qariah tersebut sememangnya bersolat Jumaat di situ. Pada hari-hari biasa, ahli jawatankuasa masjid yang terdiri daripada warga KMK yang menguruskan hal ehwal masjid. Seronoknya ialah apabila tibanya waktu solat, azan kedengaran sangat jelas dan kedudukan yang berhampiran memudahkan kami bersolat di masjid. Suatu kelebihan bukan? Selain itu, sebelum waktu solat zikir akan dipasang pada pembesar suara. Ada satu zikir yang dikatakan dalam sebuah hadis Rasulullah iaitu dua kalimah yang ringan di bibir tetapi berat di timbangan kelak. Subhanallahi wa bihamdih, subhanallahil azim. Zikir itu sungguh terkesan di hati aku dan aku kira itulah bekalan dan kenangan yang terbaik dari bumi KMK sehingga kini.


         Pengalaman berorientasi tidaklah begitu menarik bagi aku. Hal ini kerana, bilangan pelajar yang ramai iaitu hampir mencecah 2 ribu orang menyebabkan kadangkala sesuatu program itu kurang efektif. Pelbagai taklimat diberikan sepanjang seminggu orientasi ini. Hal ini tidak aku nafikan, amat membantu sebagai pelajar baru di KMK. Antara yang boleh aku ceritakan berkaitan KMK juga adalah sistem bilik pensyarah yang dikenali sebagai cubic, perpustakaan yang sangat selesa dan kafe yang terletak di setiap blok. Sepanjang tempoh aku di situ, aku sempat berjalan dan mengetahui selok belok KMK, bahkan keluarkan ke Pekan Changlun juga sempat. Pekan itu adalah yang terdekat dengan kolej ini dan sebenarnya pengangkutan untuk keluar agak mudah kerana perkhidmatan teksi tersedia untuk membawa pelajar keluar.

        Bercerita pula mengenai sitem pembelajaran, di KMK sistem yang digunakan ialah sistem kuliah dan juga tutorial. Sistem kuliah di dalam bilik kuliah secara beramai-ramai, manakala tutorial pula di dalam kelas dengan bilangan pelajar yang lebih kecil. Sekadar sedikit perkongsian, terdapat tiga modul yang boleh dipilih dan modul yang aku ambil ialah Modul Satu iaitu terdapat subjek Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik serta beberapa subjek generik. Kehidupan di matrikulasi sememangnya sangat padat dan mencabar. Aku berkesempatan masuk ke kuliah dan tutorial dalam masa sehari. Namun begitu, sejak hari pertama lagi aku rasakan agak mencabar dan memerlukan kecekalan dan semangat yang sangat tinggi. Masa untuk preview dan review subjek yang dipelajari perlu dijadualkan sebaik mungkin kerana tugasan tutorial juga turut mengiringi sebaik sahaja tamat kelas pembelajaran. Aku rasakan itulah ertinya sebuah perjuangan dan pengorbanan dalam menuntut ilmu. Itu juga khazanah yang aku rindui kini.


 Aku seronok dan bersemangat sekali di KMK. Kadangkala ada juga rakan yang menyebut mengenai IPG. Pada waktu itu, aku pekakkan sahaja telinga kerana aku sudah bertekad dan ini jalan yang aku pilih. Namun sebenarnya jauh dalam sudut hati, ada secebis harapan. Jika bukan aku, ada harapan dan kabel doa yang mengiringi. Doa mak aku. Aku agak dilema.

Bersambung...