Sunday 4 October 2015

UKCG di IPG Kampus Perlis...

Suka atau tidak, agak bersemangat juga aku hendak ke sana. Walaupun menjadi antara yang aku rasakan keciciran, aku lakukan sahaja segala persiapan yang dilakukan. Semangat jugalah aku dalam masa dua hari berjoging dan bersenam di dalam rumah. Aku agak berdebar sebenarnya. Prinsip aku, suka atau tidak, tetapi jika sudah diberi peluang aku harus manfaatkan itu agar aku tidaklah berasa ralat kelak.

       Jadinya pada hari yang ditetapkan, aku pergi dan seperti yang sudah aku agak, beberapa orang yang sempat aku tanyakan mereka semuanya kes seperti aku, tersalah isi dengan tidak ukur baju di badan sendiri. Oh ya, aku ke sini bukan atas dasar opsyen apa-apa pun, jadi pada waktu itu tidak tahu apabila ada orang bertanya. Sebelum Subuh lagi aku telah bertolak dari Sungai Petani, rumah tok(nenek) aku. Jarak antara Perlis dan Sungai Petani lebih dekat, tambahan pula mujur Pak Long aku sedia menjadi pemandu kami ke sana. Kami yang aku maksudkan di sini ialah emak, aku dan adik. Keluarga Mak Cik juga sebenarnya mengiringi langkah aku ke utara Tanah air pada hari ujian tersebut dengan niat untuk berjalan-jalan di negeri mangga harum manis tersebut. Sebelum melangkah keluar rumah, sewaktu menyarungkan kasut, sempat tok aku berpesan agar aku memakai kasut di sebelah kanan terlebih dahulu serta melangkah dengan kaki kanan disertai lafaz mulia, Bismillah. Perkara yang kecil ini sengaja aku ceritakan kerana kadangkala perkara yang kita rasakan kecil inilah sebenarnya perlu dititikberatkan untuk sesebuah perkara yang besar.

        Sebelum bermula ujian kecergasan tersebut, kami dikumpulkan di dalam sebuah dewan. Dewan Mahawangsa kalau aku tidak salah, itu namanya. Di situ kami dikehendaki menjawab soalan berkaitan kelayakan calon guru. Pada dasarnya, soalan tersebut berbentuk objektif yang bertujuan mengenalpasti psikologi seseorang. Jawapannya seingat aku hanya setuju atau tidak sahaja serta beberpa pilihan yang berkaitan dengan tindakan inidividu. Dalam masa 1 jam lebih untuk menjawab seratus lebih soalan, itu aku rasa agak mencabar dan dalam kekalutan juga aku dibuatnya. Setelah selesai menjawab, kami diberi taklimat berkenaan ujian kecergasan. Pada waktu itu segala video yang diseludup daripada seorang kawan yang hadir ujian sebelum ini  baru aku fahamkan dan ternyata tidaklah serumit yang aku sangka. Tetapi aku masih berdebar,maklumlah namanya sudah ujian.

        Apabila tiba masa bergerak ke tempat ujian, aku sempat melihat kawasan sekitar termasuklah beberapa orang pelajar di situ yang berpakaian baju kurung. Tampak sopan sekali ke kelas, sekali sekala terdetik kebanggaan di hati aku melihat muda mudi berpakaian sopan dalam menuntut ilmu. Kredibiliti senior-senior yang membantu pada hari itu sebagai bakal seorang guru juga agak ketara.Arahan diberikan mereka jelas dan setiap pergerakan diurus dengan baik sekali dan aku kira mereka sudah terbiasa dengan disiplin begitu. Sampai di sebuah bilik, berat dan tinggi kami direkodkan. Guru pelatih di situ peramah, ada yang sempat bertanya tentang opsyen dan mengucapkan selamat maju jaya kepada kami. Positif sekali aku ketika itu dan tanpa aku perasan, dari situ mula timbul bibit harapan aku untuk terus melangkah sampai ke bahagian temu duga. 

        Seterusnya kami bergerak untuk melakukan lompat kuadran dan variasi bangkit tubi. Pada bahagian bangkit tubi, aku bersyukur kerana hanya sekali kiraan diambil. Bahagian itu sebenarnya aku risaukan dari rumah lagi, tetapi aku Berjaya jugalah menghadapinya. Apa yang menarik di sini adalah, kami dikehendaki mengucapkan terima kasih beramai-ramai setelah selesai satu stesyen. Tidak ubah seperti murid-murid di sekolah rendah, di hadapan pula bakal guru sekolah rendah. Aku agak teruja dan bersyukur pada hari itu. Akhir sekali, kami bergerak ke dewan gimnasium untuk melakukan kilas sisi dan bleep test. Aku cuba sedaya upaya bagi kilas sisi, namun sebenarnya cabaran utama dalam ujian ini adalah bleep test. Aku kira aku sudah berlari sedaya upaya. Tetapi keputusan aku rasanya biasa-biasa sahaja dan aku tidak ingat pun sehingga tahap mana  aku berlari. Setakat yang aku dengar sebelum ini daripada rakan-rakan aku, aku rasa biasa sahajalah pencapaian aku.Senior yang membantu mencatat keputusan juga turut bersemangat memberi dorongan kepada kami. Itu amat aku hargai.

        Selesai berehat dan mengisi boring maklum balas, tamatlah ujian pada hari tersebut. Aku bertuah juga kerana pada hari itu, aku berada dalam kumpulan pertama, jadi kami antara yang terawal selesai. Riak wajah emaklah yang paling konsisten pada hari itu. Dari awalnya hendak menduduki ujian sehingga selesai, harapan yang tinggi tidak dapat disembunyikan daripada raut wajahnya. Aku tinggalkan ruangan IPG itu dengan sakit-sakit di bahagian kaki kerana sudah lama tidak aktif dan sedikit rasa bersalah kerana aku berasakan aku patut berlari lagi sewaktu bleep test tadi. Tapi itulah hakikatnya, sedikit semangat dan harapan mucul ketika kaki aku melangkah ke situ dan melihat wajah serta gelagat pensyarah dan guru pelatihnya. Aku ingin berterima kasih pada semua yang terlibat pada hari itu.



Ada harapan, namun tidak begitu jauh. Semangat mula hilang! Layakkah ditemu duga?
Bersambung...


       
        

       

Saturday 3 October 2015

Bahagian Kelima

Alhamdulillah baru kini berkesempatan bersambung...

        Lama juga aku tidak menulis. Kali terakhir pada Julai lalu dan kini sudah pun masuk ke bulan Oktober. Kiranya baru juga aku menyambut hari lahir aku. Sepanjang tempoh tersebut aku agak sibuk sebenarnya, dengan tugasan yang bertimbun dan tidak kurang juga pembentangan-pembentangan yang diaplikasikan pada setiap subjek. Bakal gurulah katakan! Dalam tempoh itu juga ada seorang sahabat aku yang berhajatkan agar aku menyambung penulisan ini. Jujur, aku terharu dan berterima kasih sekali ada juga yang sudi membaca dan singgah di blog ini. Terima kasih! (aku harap dia baca) Hal ini kerana, aku sebenarnya sedang mencuba untuk kembali ke bentuk penulisan yang konvensional, maksudnya dengan penggunaan laras bahasa baku. Pada zaman kini, aku kira tidak ramai golongan yang sezaman dengan aku suka akan bentuk penulisan begini. Mereka lebih suka pada yang santai dengan penggunaan bahasa-bahasa 'anak muda' atau boleh juga aku katakan bahasa pasar. Tidak dinafikan, aku juga suka begitu walaupun kadangkala penulisan sebegitu agak merobek satu sisi kesantunan linguistik aku. Jadi, berbalik kepada penulisan konvensional tadi, aku agak berbangga apabila ada penerimaan terhadap penulisan ini dalam kalangan rakan sebaya.

        Terlalu banyak aku bebelkan di ruangan ini, jadi nanti aku akan sambung pengalaman aku ke UKCG di IPG Kampus Perlis pada tulisan yang baharu. Jumpa lagi!