Wednesday 22 June 2016

Perjalanan PISMP

Bismillahirrahmanirrahim,

Alhamdulillah, setelah sekian lama bersawang laman ini, aku kembali menulis. Ternyata bukan senang mahu menulis, ada saja cabaran dan kekangan.

Agaknya inilah penutup bagi kisah-kisah yang sebelum ini. Lihat tajuk di atas juga sudah tahu di mana aku akhirnya berada, pilihan aku, bumi aku berpijak sekarang bukan? Ya, setahun lalu pada tarikh 22 Mei 2015, aku telah pun mendaftar di IPG Kampus Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Doa mak aku rasakan kabel penghubung kuat rezeki aku di sini selain takdir yang telah ditetapkan oleh Allah Taala yang sudah semestinya terbaik untuk aku.

Setahun telah pun berlalu, aku masuk ke sini untuk kursus Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) dengan opsyen Pengajian Melayu. Sekarang, setelah 2 semester berlalu, aku baru saja melangkah ke alam pengajian ijazah sarjana muda, 1 PISMP PM/ TESL.

Pengalaman dan pengetahuan semasa tahun persediaan amatlah berharga. Sistem pembelajaran di sini juga tidaklah begitu sibuk jika dibandingkan dengan sistem di Matrikulasi. Peperiksaan yang diambil hanyalah 3 kertas major, manakala subjek lain melibatkan kerja kursus bagi penilaian. Berbekalkan keputusan yang agak baik, maka aku layaklah untuk melangkah kaki ke alam pengajian ijazah sarjana muda ini.

Beban kerja agak bertambah, tambahan pula bagi subjek minor atau elektif teras, kami bakal menjawab kertas yang sama dengan pelajar major bagi subjek tersebut. Berbicara tentang ini, pemilihan minor juga bagi kami penuh dengan suka duka. Dengan tagging SJKC, pemilihan subjek minor agak terhad kerana kami perlu mengajar dalam bahasa pengantar iaitu Mandarin.. Lama sebenarnya aku fikirkan ingin mengambil PJ sebagai minor, akan tetapi akhirnya, aku mengambil keputusan untuk mengambil TESL/ BI sebagai minor. Mungkin saja keputusan ini aku ambil untuk meneruskan hasrat aku bagi menguasai BI dan juga mencabar diri. Satu-satunya yang memilih minor BI dari kelas PM, sudah semestinya banyak pertimbangan yang aku ambil, apatah lagi orang lain juga turut memberi pendapat, sokongan dan tidak kurang juga yang tidak menyokong. Itulah yang aku rasakan agak mencabar sebenarnya. Bagi aku, mempelajari dua bahasa dalam masa yang sama tidaklah berat kerana kedua-duanya aliran linguistik. Seronok juga belajar bahasa, apa salahnya kan?

Sehingga bertemu lagi!