Sunday 12 July 2015

Bahagian Kedua

Bersambung...



        Setelah mendapat keputusan tersebut yang agak menggembirakan bagi aku, agak menggembirakanlah kerana aku tidak perlu lagi menghadiri ujian kecergasan dan sebagainya, dan ya aku gembira. Tetapi jauh dalam sudut hati aku sebenarnya terpancar juga lubuk kekecewaan, hal ini kerana ramai rakan-rakan aku yang mendapat peluang menghadiri ujian berkenaan. Maksudnya, jika aku juga terpilih seperti mereka, aku juga boleh menimba pengalaman di situ. Pada waktu itu juga ada juga rakan-rakan aku yang sudah pun menghadiri temuduga dan sebagainya,jadi aku rasa ketinggalan. Tambahan pula cuti panjang yang sememangnya panjang selepas peperiksaan itu amat aku rasa kerana aku hanya di rumah dengan beberapa kerja rumah. Tidak seperti orang lain,mereka bekerja,berniaga dan sebagainya. Tidaklah aku ini tidak mahu memanfaatkan cuti dengan aktiviti sebegitu,teringin juga. Tetapi hakikatnya, aku ini budak kampung yang tidak ada kemudahan bergerak sendiri ke tempat kerja,jika aku bekerja di kawasan pekan. Sudah tentulah apa peluang yang ada sangat di kampung kecil aku itu. Jadi, aku manfaatkan cuti tersebut dengan menghadiri kelas memandu. Cabaran juga, mengambil jenis B2 dan D. Kedua-duanya lesen untuk kereta dan motosikal. Awalnya juga sudah tercabar dengan kos yuran dan kelas yang dikorbankan. Apa tidaknya, gara-gara silap percaturan, tidak menyelidik terlebih dahulu agen-agen yang lebih murah,RM 2000 melayang seumpama aku ini hendak mengambil lesen lori pula!Tapi, aku berpuas hati kerana segalanya berjalan lancar dan aku juga sekarang sudah boleh memandu sendiri.Paling jauh aku memandu ke Sungai Petani yang jaraknya dari Baling ialah satu jam perjalanan.Aku balik kampung arwah abah.


           Panjang aku melalut? Sengaja aku ceritakan agar nanti ada pembaca yang berada dalam situasi aku bijak beradaptasi dengan masa,ruang dan peluang yang ada.Bukan seperti aku. Aku kecewa, namun sengaja aku pancarkan aura 'gembira' aku itu melebihi yang kecewa. Tahu siapa yang paling kecewa? sudah tentulah emak. Beliau berharap sangat dari awal aku mengisi permohonan. Mungkin berkat doa beliaulah selepas itu, ada panggilan kedua iaitu sesi UKCG yang terakhir bagi ambilan Jun 2015 yang kebanyakan calonnya seperti aku,tercicir kerana pengisian permohonan.Aku terkejut sebenarnya. Baru juga hendak melepaskan nafas kelegaan tiba-tiba aku perlu bersiap sedia dari segi mental dan fizikal untuk UKCG tersebut. Hari aku mendapat mesej agar aku menyemak kembali status permohonan,aku baru sahaja selesai menghadiri temuduga untuk Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera.Aku selitkan pengalaman aku sedikit semasa temuduga tersebut. Awalnya permohonan ke temuduga untuk biasiswa tersebut aku isi melalui atas talian atas dorongan mak saudara aku yang menggalakkan aku mencuba.Katanya, biasiswa tersebut bagus tetapi masih tidak sepopular biasiswa MARA,JPA dan sebagainya.Oleh itu aku mencuba nasib. Beruntung sesiapa yang mendapat tawaran tersebut. Tawaran biasiswa tersebut adalah untuk pelajar lepasan SPM yang dinamakan Tunas Potensi yang berminat melanjutkan pelajaran ke IPTS atau sekarang istilah barunya US, yang juga datang dari latar belakang yang sukar untuk mendapat pendidikan berkualiti. Oleh itu,segala yuran buku,kediaman dan duit poket semuanya disediakan. Mudah bicara, semuanya ditanggung.Kita hanya perlu menyediakan diri dan minda yang sihat sahaja untuk menuntut ilmu.Selain itu, program ini juga bagus dari segi objektifnya melahirkan golongan profesional bumiputera berkualiti dengan penganjuran kem intensif bahasa Inggeris dan tidak lupa juga Nurture and Development Programme yang melatih dan mendidik dari sudut keyakinan diri,disiplin,rohani dan sebagainya. Untuk adik-adik lepasan UPSR juga disediakan program biasiswa Tunas Geliga. Sewaktu mengisi permohonan, kita dikehendaki memilih bidang yang diminati dan menepati syarat am dan khas untuk setiap kos yang diberikan. Syarat amnya pelajar mestilah mendapat sekurang-kurangnya 8A. Bagi syarat khas pula bergantung pada kos masing-masing. Jikalau ada yang berhajat menyambung dalam bidang Sains, maka dinasihatkan agar memperoleh skor yang tinggi atau gred yang tinggi melebihi syarat minimum dalam subjek Sains seperti Biologi,Fizik dan Kimia.Tidak ketinggalan juga Matematik Tambahan atau Matematik.

2 comments:

  1. your words...loving it now,
    keep writing, I'll read it...= D

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe....thank you zainab for your support...Insyaallah i'll keep writing!

      Delete