Tuesday 21 July 2015

Bismillah, bersambung...



         Tidak lama kemudian, barulah diadakan sesi taklimat berkenaan temuduga pada hari tersebut. Kami bukan sahaja ditemuduga secara lisan tetapi juga diuji mengenai "English Proficiency" dan ujian minat kerjaya. Ujian tersebut tidaklah sukar dan hanya untuk menilai penguasaan bahasa Inggeris yang bakal menentukan tempoh kelas intensif bahasa Inggeris sekiranya berjaya dan minat pemohon yang selaras atau tidak dengan kos yang dipohon. Satu tugasan esei juga perlu dilaksanakan sementara mengisi masa ditemuduga. Bagi yang mendapat 9A ke atas perlu melaksanakan dua esei yang bertajuk "Happiness" dan "Life". Jadi, aku hanya mengarang satu esei tentang kegembiraan. Bagi aku, menarik juga aktiviti menulis sedemikian dan soalannya mengingatkan aku betul-betul pada peperiksaan SPM kerana bentuk soalannya begitu. Masa yang terluang sudah semestinya aku peruntukkan membina esei tersebut sementara menunggu giliran. Sayup-sayup sahaja aku terdengar calon lain ditemuduga. Orang sebelah aku juga kadang bertanya kepada calon yang telahpun siap ditemuduga. Aku tumpang sahaja mendengar. Tidak tenang aku menjawab esei. Kedengaran soalan yang dikemukakan agak tipikal, namun hakikatnya itulah cabaran sebenar. Kadangkala soalan biasa atau ringkas itulah yang menjerat kita, jadi perancangan dan strategi menjawab perlulah mantap.


           Antara soalan yang ditanyakan adalah " Ceritakan pengalaman manis kamu," atau "Apakah kejayaan paling membanggakan dalam hidup kamu dan kesannya terhadap diri kamu". Begitulah yang aku dengar dan sememangnya itulah yang diajukan 15 minit kemudian setelah giliran aku tiba. Aku ditemuduga oleh pegawai wanita yang memberi taklimat pada kami awal tadi. Dia bertutur dalam bahasa Inggeris, jadi secara tidak langsung auranya itu membuatkan aku agak yakin bertutur dalam bahasa antarabangsa tersebut. Aku agak yakin namun gementar sebenarnya. Dari awal beliau berpesan kepada aku andai tidak mampu berbahasa Inggeris aku juga dibenarkan berbahasa Melayu. Aku tidak mudah berputus asa, andaian aku dengan cuba juga berbahasa Inggeris itu akan menjadi kekuatan bagi aku sebagai seorang pemohon bagi biasiswa tersebut. Pada awalnya juga, walaupun agak gementar, aku dengan tenang dan yakin sahaja menuju ke meja temuduga. Sempat juga aku menyuarakan kebimbangan aku kepada rakan aku tatkala aku melewati mejanya. Gilirannya belum tiba. Aku sedaya upaya menjawab soalan yang diberi dengan jawapan yang aku harapkan tidaklah klise seperti kebanyakan jawapan untuk temuduga. Aku jawab berdasarkan pengalaman aku yang kebanyakan aku jalani di sekolah dahulu. Agak lama aku ditemuduga. Kira-kira 20 minit aku rasakan atau hampir setengah jam aku disoal jawab. Sewaktu aku pulang ke meja, aku lihat rakan aku masih berada di mejanya. Tetapi sebenarnya yang aku tidak tahu, dia sudahpun siap ditemuduga! 


             Berdasarkan perkongsian kami setelah menjalani hari yang penting tersebut, rakan aku tadi ditemuduga sekejap sahaja. Tambahan pula, soalan yang diajukan kepadanya amat ringkas seperti bertanya tentang latar belakang keluarga sahaja. Bahkan, tidak pula dia cuba bertutur dalam bahasa Inggeris. Bukanlah aku berniat untuk memperkecilkan dia. Tidak sama sekali! Nanti aku ceritakan kewajarannya. Selepas sesi individu tersebut, kami dikehendaki melakukan ujian minat kerjaya. Ada nama khas bagi ujian tersebut bersempena dengan nama penciptanya, tetapi sayangnya aku lupa. Sememangnya itu ujian minat kerjaya yang perlu ditandakan dengan pensel 2B. Aku terlupa membawa pensel! Hakikatnya, aku tidak menyangka aku memerlukan pensel sewaktu temuduga tersebut, ditambah pula dengan sikap aku sendiri yang tidak sedia menyediakan payung sebelum hujan. Aku beruntung boleh menggunakan pensel yang disediakan pihak hotel di atas meja tersebut. Tidaklah terang matanya, tetapi mungkin juga menjadi antara penyebab aku gagal dalam temuduga tersebut kerana kertas jawapannya bakal ditanda dengan mesin penanda. Aduh, aku tersalah hitamkan pula! Dengan hanya bertemankan pen biru dua batang, dari mana pula hendak datangnya pemadam? Dalam kekalutan berkejar dengan masa, aku ternampak pemadam pada orang sebelah. Orang yang dari tadi aku diamkan diri itulah. Tadi aku membatu, membisu tapi sekarang aku terpaksalah meminjam pemadamnya pula.Alahai malunya! Aku gagahkan juga kerana terpaksa meminta izin menggunakan pemadamnya. Beruntunglah dia pinjamkan pemadamnya, manis mukanya,baik hatinya. Orang Pulau Pinang. Kisah membatu tadi aku tamatkan sehingga rakan aku juga terdengar aku ingin meminjam pemadam tersebut. Bertambah malu aku.


                Temuduga tersebut aku tamatkan dengan melaksanakan ujian bahasa Inggeris. Tidaklah susah pada pendapat aku. Namun sebenarnya, terbit sedikit kekesalan dalam hati aku yang sebenarnya aku tidak sempat bersalam dengan emak terlebih dahulu awal pagi tadi. Sehinggalah tamat pada jam 3 petang, aku terasa ralat. Sementara menunggu mak saudara aku datang menjemput aku menerima satu mesej. Mesej tersebut datang daripada KPM dengan nombor 15888 yang menyuruh aku menyemak kembali keputusan tawaran untuk ke UKCG.Perasaan aku? Nah, tentulah tidak aku menyenangi sangat berita tersebut. Aku agak gembira menerima peluang tersebut, namun dalam masa yang sama aku memberontak. Apa tidaknya, aku sudah bertekad mahu ke program matrikulasi. Tetapi sekarang aku harus melalui satu proses yang juga memerlukan aku membuat keputusan luar minat dan impian aku sekiranya aku berjaya. Tambahan pula, aku terpaksa menyediakan diri aku dengan kecergasan yang optima seorang diri. Tidak ada lagi rakan aku yang mendapat peluang terakhir ini. Ada seorang sebenarnya, tetapi sayang dia terlambat meihat mesej yang juga pada hari yang sama aku dapat. Perjalanan pulang ke rumah aku isi dengan perbualan persediaan rakan aku yang akan ke UKCG esok harinya di Jitra. Aku tanyakan beberapa maklumat kepadanya dan aku juga terpaksa meminta supaya dia menghantar video ujian yang dijalankan. Sebelum ini aku padamkan semua, lantaran aku beranggapan aku sudah tidak ada rezeki di situ. Kami melalui IPG Kampus Tuanku Bainun (IPGKTB) pada petang itu. Namun, perancangan Tuhan meletakkan aku di sini pada hari ini langsung tidak dapat aku hidu. Subhanallah...







Jom pi Perlis!....bersambung nanti.

1 comment:

  1. Aman...when you're gonna continue your writing ?
    Miss to read it...

    ReplyDelete